Penubuhan Parti dan Penglibatan dalam Pilihanraya Parti_Hizbul_Muslimin_Malaysia

HAMIM telah ditubuhkan pada 24 Mac 1983 oleh Tan Sri Dr. Haji Asri Muda, mantan Presiden PAS yang meninggalkan parti itu pada 23 Februari 1983 selepas kegagalan PAS merampas semula kerajaan negeri Kelantan dalam Pilihan raya umum Malaysia 1982 yang melihat arus kesedaran dan kebangkitan Islam yang semakin kuat ketika itu di mana kemudiannya puak ulamak agama mengambil-alih kepimpinan pusat PAS daripada puak nationalis pada Muktamar PAS ke-28 1982. Lantaran itu HAMIM diasaskan sebagai alternatif kepada PAS dan telah menyertai Barisan Nasional (BN). Pada pilihanraya umum 1986, HAMIM sebagai salah satu kompenan BN telah bertanding 2 kerusi Parlimen dan 4 DUN. HAMIM telah menang 1 kerusi Parlimen (Bachok) dan 2 DUN (Chetok dan Meranti).

Sehingga 1989 sebelum Pilihanraya Umum 1990, kepimpinan baru HAMIM telah mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional untuk menyertai gabungan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Melayu Semangat 46 (S46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM), dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) pula bagi menghadapi Pilihan raya umum Malaysia 1990, di mana ianya telah memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk membentuk kerajaan campuran APU di Kelantan.[1] [2]

Dalam pilihanraya umum 1990 melalui pakatan APU di Kelantan, HAMIM meletakan calonnya iaitu Dato Nik Man bin Nik Mohammad di Dun Geting (Pengkalan Kubor) dalam Parlimen Tumpat. Dato Nik Man juga merupakan Tim Presiden Hamim Pusat. Sekaligus menjadi satu-satu wakil HAMIM dalam DUN Kelantan. Manakala di Kedah pula HAMIM meletakan calonnya iaitu Dato Hj Sudin B. Wahab di Parlimen Kubang Pasu (atas tiket Parti S46) untuk berdepan dengan Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir B. Mohamad, pertembungan antara presiden parti ini dimenangi oleh Dr Mahathir. Selain itu, HAMIM turut meletakkan calonnya di Selangor iaitu di DUN Sabak yang diwakili oleh Naib Presiden Parti, Bong Khalid bin Hj Siri, namun tewas di tangan calon UMNO.

Pada Pilihanraya Umum tahun 1995 sekali lagi Bong Khalid bin Hj Siri menjadi calon di DUN Paya Jaras. Manakala bagi DUN Pengkalan Kubor di Parlimen Tumpat pula HAMIM meletakan calonnya iaitu Hj Wan Abdul Rahman Wan Salleh yang bertanding atas tiket Parti Semangat 46 namun tewas di tangan calon Umno iaitu Cikgu Mat Nawi dengan majoriti 1289.